GEORGE TOWN: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung tindakan guru di sebuah sekolah menengah yang menggunakan gambar tidak sepatutnya pada poster pertandingan bersempena dengan Bulan Kebangsaan.

Pengarah JPN negeri Datuk Abdul Said Hussain berkata pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia telah menyinggung dan mengguris hati banyak pihak.

Beliau turut memohon maaf atas kecuaian guru terbabit yang tidak peka dengan menggunakan gambar templat yang diambil daripada Internet sebagai bahan promosi untuk pertandingan berkenaan.

"Laporan awal telah diterima daripada pihak sekolah, guru dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Tengah (SPT) berhubung perkara ini dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Kita kesal atas kecuaian yang telah berlaku dan amat berharap semua pihak bersabar dan beri ruang kepada PPD dan JPN untuk jalankan siasatan. Tindakan sewajarnya akan diambil bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan," katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu, tular melalui media sosial sebuah poster pertandingan buku skrap anjuran sebuah sekolah menengah yang didakwa menggunakan gambar propaganda tentera China dan ia telah mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.

Mengulas lanjut, Abdul Said berkata guru terbabit didakwa tidak sengaja menggunakan gambar itu pada poster berkenaan dan permohonan maaf telah dibuat guru itu pada Khamis lepas, manakala poster pertandingan asal juga sudah ditarik balik dan telah digantikan dengan poster lain.

Beliau berkata poster berkenaan pada mulanya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp ibu bapa oleh guru sekolah itu pada 15 Ogos sebagai makluman untuk pelajar sekolah menyertai pertandingan yang dianjurkan pihak sekolah bersempena dengan Bulan Kebangsaan.

JPNPP katanya, amat menggalakkan inisiatif pihak sekolah, PPD, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti Swasta (PIBKS) dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan menerusi penganjuran pelbagai aktiviti untuk mengukuhkan jati diri, namun ia perlu mendapat kelulusan daripada pihak atasan sebelum dilaksanakan.

"Setiap aktiviti yang dilaksanakan perlu dibentangkan dalam Mesyuarat Panitia atau Mesyuarat Kokurikulum dan diluluskan serta disahkan oleh Ketua Jabatan.

"Ia bertujuan semakan, pembetulan, penjaminan kualiti dan pengesahan sebelum aktiviti pembelajaran seperti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), pertandingan ko-akademik dan sebagainya untuk mengelakkan kesilapan atau ketidakpatuhan kepada dasar-dasar kurikulum kebangsaan dan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP)," katanya.

-- BERNAMA