KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini melancarkan koleksi setem khas bertemakan Duit Syiling Kesultanan Melayu di Muzium dan Galeri Seni BNM.

Koleksi berkenaan menampilkan empat jenis duit syiling Kesultanan Melayu dari beberapa negeri; Duit Syiling Perak (Real) dari Kedah, Timah (Pitis) dari Melaka, Emas (Mas) dari Johor dan Emas (Duit Kijang) dari Kelantan yang telah digunakan sejak abad ke-12 untuk tujuan perdagangan.

Koleksi set lengkap boleh didapatkan pada harga RM59.50 manakala tiga setem dan Lembaran Mini masing-masing bernilai 50sen (Real dan Pitis), RM1.30 (Mas) dan RM5.00 (Duit Kijang) setiap satu, kata Pos Malaysia dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Koleksi setem tersebut boleh didapati di Pejabat Pos Besar dan Biro Filateli di seluruh negara mulai 13 April, 2023

-- BERNAMA