Penubuhan Politeknik yang mengetengahkan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) diyakini mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kursus TVET membolehkan lebih ramai pekerja mahir dan separa mahir tempatan dilahirkan menerusi politeknik-politeknik di seluruh negara.

"Apabila Politeknik diwujudkan, Kementerian Pengajian Tinggi menyasarkan seramai 100,000 pelajar seluruh negara (yang menuntut). Saya amat menyokong dasar dan sistem operasi yang dilakukan Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh.

"...TVET memberi penekanan kepada latihan untuk bakal pekerja mahir dan separa mahir...sekiranya kita dalam landasan yang betul, warga asing hanya diperlukan dalam sektor pekerjaan 3D (kotor,sukar dan bahaya) sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis pecah tanah Politeknik Besut, di Bukit Keluang di sini, pada Jumaat.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Ahmad Zahid berkata kerajaan yakin sistem pendidikan yang memberi tumpuan kepada sistem pendidikan TVET mampu menjanjikan hasil lebih baik berbanding kelulusan yang tidak begitu teknikal.

Beliau berkata berdasarkan statistik, terdapat 85 graduan Politeknik bekerja atau memperoleh kerja dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian dan 50 peratus lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang layak memilih bidang TVET sebagai pilihan utama di Politeknik.

Selain itu, kira-kira 500 graduan dilahirkan dalam industri kreatif dan teknologi maklumat setiap tahun, kata beliau sambil berharap angka itu ditingkatkan kepada 5,000 pelajar setahun pada masa akan datang.

"Pendidikan merupakan aset terpenting bagi negara. Ia juga pelaburan yang berbentuk pelaburan jangka panjang kerana kita mahu membentuk mobiliti sosial negara ketiga.

"Kita mahu mempertingkat taraf sosio ekonomi rakyat kerana sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada 1970 dan tamat pada 1990, kita dapati pendidikan masih diberi keutamaan oleh negara," katanya.

Politeknik Besut, yang ke-34 ditubuhkan di negara setakat ini, diwujudkan selaras dengan saranan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 yang menggalakkan lebih ramai anak muda mendapat pendidikan berbentuk Latihan Pendidikan Kemahiran dan Vokasional (TVET).

Antara bidang pengajian yang ditawarkan di politeknik itu adalah Diploma Teknologi Digital (Teknologi Maklumat) yang membuka laluan kemahiran dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, perikanan dan teknologi pembuatan.

Sebuah lagi politeknik bakal dibina di Bagan Datuk, Perak tidak lama lagi apabila urusan pembelian tanah selesai.

-- BERNAMA