KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima enam laporan berkaitan warga tempatan menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang, yang dieksploitasi sebagai buruh paksa di beberapa negara luar sepanjang tahun 2021 hingga Mac lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata laporan itu melibatkan 26 mangsa terdiri daripada 24 lelaki dan dua wanita yang diperdaya dan dieksploitasi untuk bekerja di Thailand, Laos, Myanmar dan Kemboja.

Beliau berkata PDRM percaya masih ada mangsa terkandas di bawah kawalan sindiket-sindiket itu, yang tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Sindiket ini memperdaya mangsa melalui iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan di luar negara dengan tawaran gaji yang lumayan menerusi Facebook. Mangsa yang tertarik dengan tawaran ini akan berhubung dengan ejen melalui aplikasi WeChat, WhatsApp atau pesanan melalui Facebook.

"Selepas mangsa bersetuju dengan syarat-syarat pekerjaan termasuk gaji, waktu kerja dan lain-lain kebajikan, ejen menjanjikan akan mengurus serta menanggung segala kos perbelanjaan perjalanan ke destinasi pekerjaan," katanya dalam kenyataan Jumaat malam.

Menurutnya setelah mangsa tiba di negara berkenaan, semua dokumen perjalanan mereka termasuk telefon akan dirampas dan dimusnahkan, selain pergerakan mereka dikawal ketat dan turut dikurung.

Beliau berkata mangsa seterusnya dihantar ke destinasi tertentu seperti Preah Sihanouk, Kemboja; Mae Sot, Thailand; Vientiane, Laos; serta Kayin State, Myanmar dan dipaksa untuk melakukan pekerjaan perjudian dalam talian, pelaburan palsu, perlombongan bitcoin dan lain-lain penipuan.

"Mangsa juga tidak dibenarkan kembali ke negara asal selagi tidak mencapai sasaran syarikat itu dan jika ingin kembali ke negara asal, mereka diminta untuk membayar ganti rugi semua kos yang dianggarkan berjumlah RM30,000 hingga RM50,000 bagi tiap seorang," katanya.

Beliau menjelaskan berdasarkan maklumat diperoleh, sindiket itu merupakan satu rangkaian jenayah rentas sempadan dan melibatkan sindiket yang beroperasi secara teratur serta mempunyai jalinan rangkaian yang luas.

"PDRM akan berusaha bekerjasama dengan pihak Polis Antarabangsa (Interpol) dan Polis Asean (Aseanapol) bagi membantu mengesan serta menyelamatkan mangsa di luar negara.

"PDRM juga akan berkolaborasi dengan Kementerian Luar bagi membantu mempercepatkan proses menyelamatkan mangsa di luar negara itu," katanya.

Abd Jalil berkata siasatan dijalankan bagi mengenal pasti ejen bertanggungjawab membuat tawaran kerja dan transporter terlibat yang membawa mangsa ke destinasi tertentu.

Beliau turut menasihatkan masyarakat berhati-hati terhadap tawaran kerja dengan gaji lumayan di luar negara melalui sebarang kaedah bagi mengelak orang ramai daripada dieksploitasikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

-- BERNAMA