KUALA LUMPUR: Polis menerima empat laporan berhubung modus operandi terkini penipuan penculikan melibatkan murid sekolah di sekitar Lembah Klang, pada 13 hingga 15 Jun lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, satu pesanan ringkas turut tular melalui aplikasi Whatsapp berhubung kejadian tersebut.

"Siasatan awal kes tersebut mendapati, seorang wanita tempatan telah menerima panggilan telefon daripada seorang individu tidak dikenali yang mendakwa telah menahan anaknya dan meminta wang tebusan.

"Wanita itu dengan segera bertindak memeriksa keadaan anaknya dan mendapati anaknya
dalam keadaan selamat.

"Wanita itu serta-merta memutuskan panggilan dengan suspek tersebut," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Amihizam berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan iaitu Cubaan Penipuan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut.

"Jangan mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali serta buat semakan dengan menghubungi pihak sekolah atau dapatkan pengesahan guru sekolah sekirannya anda mengalami situasi tersebut.

"Hubungi balai terdekat sekirannya anda mengalami masalah dan berhadapan dengan situasi ini serta jangan mendedahkan data peribadi atau maklumat perbankan kepada mana-mana individu yang tidak dikenali.

"Buat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman web  htpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," jelas beliau.

Amihizam berkata, orang ramai juga boleh melaporkan kepada National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika mempunyai maklumat berkenaan sindiket penipuan.

"Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan," ujarnya.