Polis berjaya menembak mati tiga penjenayah di persimpangan Jalan Taman Desa Tebrau, Johor Bahru, Johor pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam itu, kesemua suspek berusia 39 hingga 41 tahun yang menaiki sebuah kereta Toyota Vios, ditembak anggota polis yang sedang melakukan ronda cegah jenayah di kawasan terbabit.

Timbalan ketua polis negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, kesemua suspek dipercayai telah merancang untuk melakukan rompakan di sekitar pusat membeli belah Jusco Desa Tebrau.

Katanya, salah sorang suspek yang ditembak mati merupakan ketua kumpulan penjenayah yang terlibat dengan sembilan kes samun di Johor dan Pahang.

“Pihak polis cuba mengekori motokar tersebut apabila terdengar bunyi tembakan dan kelihatan sorang penumpang di hadapan memegang sepucuk pistol sambil melepaskan tembakan ke arah polis. Polis membalas tembakan sehingga tiada lagi ancaman kepada petugas polis,” ujarnya.

Tambahnya, pemeriksaan mendapati dua penjenayah mati manakala seorang lagi cedera parah dan polis cuba menyelamatkan suspek yang cedera dengan membawanya ke hospital berhampiran namun suspek meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Polis turut menemui dua pucuk postol semi-auto berserta peluru dan kelongsong peluru dalam motokar tersebut.

Hasil siasatan, kereta Toyota Vios yang dinaiki kesemua suspek telah dilaporkan hilang di Teluk Intan.

Susulan daripada kejadian terbabit, Mohd Bakri berkata, pihak polis telah melancarkan operasi mengesan rakan sejenayah kumpulan terbabit dan berjaya menahan lapan lelaki berusia 26 hingga 38 tahun di Taman Setia Tropika dan Taman Puteri Wangsa.

Turut dirampas, sepucuk pistol jenis baretta 9mm bersama beberapa butir peluru, sepucuk pistol tiruan, sebilah parang, beberapa helai jaket, topeng muka dan sarung tangan.

Kes tersebut katanya disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Senjata Api 1971 yang boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan, dan Seksyen 8 akta sama yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan.

Kes juga katanya disiasat mengikut Seksyen 307 kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.