JOHOR BAHRU: Polis telah menahan seorang pemandu bas sekolah susulan merakam video kanak-kanak dalam kenderaan tersebut hingga tular di media sosial.

Ketua Polis Johor, M. Kumar dalam satu kenyataan berkata sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah membuat tangkapan terhadap lelaki berkenaan yang berusia 24 tahun pada jam 2.57 pagi tadi di kawasan Simpang Renggam Johor.

Tindakan itu dibuat sejurus pihaknya menerima laporan polis berhubung penularan rakaman video yang memaparkan kanak-kanak di dalam bas sekolah yang telah dimuatnaik oleh lelaki berkenaan yang merupakan pengendali Akaun Tiktok Abang Bas.

Turut dirampas adalah sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk merakam dan memuat naik hantaran yang tular berkenaan.

Siasatan akan dijalankan di bawah peruntukan kesalahan Seksyen 15 (a) (iii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 15 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Polis turut mengalu-alukan kerjasama daripada ibubapa yang terdapat dalam rakaman video yang dimuat naik bagi membantu siasatan.

Sebelum ini Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menerusi sebuah hantaran di X pada Khamis berkata, beliau telah mengarahkan pegawainya dari Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) mengambil tindakan tegas itu kepada individu tersebut.

Kata Nancy pihaknya, bersedia bekerjasama dengan bahagian siasatan jenayah seksual, wanita dan kanak-kanak (D11) negeri Johor bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular beberapa video yang memaparkan seorang pemandu bas yang mempunyai lebih 600,000 pengikut di TikTok, merakam beberapa murid sekolah perempuan yang dianggap pemandu bas tersebut sebagai 'crush' atau seseorang yang diminati atau disukai secara romantik.

Kesemua video yang dirakam sambil memandu itu memaparkan wajah murid-murid tersebut dengan jelas.

Video-video itu setakat ini sudah mempunyai sebanyak 10.5 juta tanda suka atau ‘like’.