PASIR PUTEH:Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes seorang warga Myanmar hampir putus leher yang videonya tular di laman sosial sejak malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Azmir Damiri memaklumkan, pihaknya mengetahui mengenai kejadian berkenaan melalui laporan yang dibuat pihak Hospital Tengku Anis pada jam 7.30 malam tadi.

Selepas menerima laporan berkenaan, pihaknya menjalankan siasatan dan menyoal mangsa di wad kecemasan hospital berkenaan.

Bagaimanapun, soal siasat tidak dapat diteruskan memandangkan keadaan mangsa parah dan tidak boleh bercakap.

Mangsa juga tidak membawa sebarang pengenalan diri dan dipercayai bukan warga tempatan.

Menurut Azmir, pihaknya tidak dapat mengesahkan punca mangsa mengalami kecederaan itu sama ada terlibat dalam pergaduhan atau sebaliknya.
 
Video berdurasi hampir 40 saat yang tular sejak malam tadi memaparkan seorang lelaki menekup lehernya di bawah paras dagu bagi menghentikan pendarahan selepas ia kelihatan mengalami luka yang dalam.

Kejadian dipercayai berlaku terdahulu pada Jumaat, di sebuah kampung dekat sini.