KUALA LUMPUR: Polis menerima tiga laporan berhubung kelakuan dan kenyataan biadab kumpulan dari United Kingdom The 1975 di Festival Good Vibes 2023, hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata ketiga-tiga laporan itu diterima pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Justeru itu, pihak polis telah menjalankan siasatan dengan memanggil pihak-pihak terlibat dan kes telah disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

"Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata pihak polis juga menyokong penuh keputusan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan Majlis Perbandaran Sepang untuk membatalkan festival tersebut serta-merta atas faktor keselamatan.

Terdahulu, persembahan kumpulan The 1975 itu dihentikan susulan tindakan biadab vokalisnya Matty Healy yang menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia dan memperlekehkan undang-undang negara pada Festival Good Vibes yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor, pada Jumaat.

Terdahulu, Fahmi hari ini mengarahkan supaya penganjuran Festival Good Vibes 2023 yang masih berbaki hingga esok dibatalkan serta-merta.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, Fahmi berkata pendirian Kerajaan Perpaduan adalah jelas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.

-- BERNAMA