Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintendan Mohammad Ali Mohd Jali, berkata setakat ini pihaknya telah menerima tujuh laporan polis daripada mangsa.
Menurutnya, mangsa terdiri daripada pelajar Tingkatan 2 dan 3, manakala suspek adalah dua pelajar Tingkatan 4 dan 5.
“Kecederaan yang dialami cuma bengkak tangan dan sakit otot. Budak-budak ini kena melakukan tekan tubi hampir 200 kali.
“Perkara ini disedari apabila salah seorang pelajar membuat laporan polis di Balai Polis Trong, dan laporan itu dirujuk kepada kami kerana kejadian berlaku di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media kejayaan membongkar makmal dadah haram di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk pada Ahad.
Jelasnya, kes buli berkenaan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Mengulas lanjut, Mohammad Ali berkata setakat ini polis telah merakam keterangan tujuh mangsa, manakala keterangan suspek akan diambil selepas mendapat arahan untuk menyiasat.
Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 10 malam melibatkan lebih 60 pelajar, dan punca masih dalam siasatan.
Terdahulu, media melaporkan sekumpulan pelajar Tingkatan 2 dan 3 sebuah sekolah berasrama penuh menjadi mangsa buli oleh beberapa pelajar senior dalam kejadian pada Sabtu lalu.
Kumpulan pelajar itu dipaksa melakukan tekan tubi sebanyak 200 kali ketika berkumpul di surau sekolah berkenaan.
