Pihak polis mengesahkan kematian seorang wanita warga China yang juga pemilik sebuah kedai kopi di Bercham, Ipoh pada 24 Februari lalu sebagai kes bunuh.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ahmad Tarmizi Abdul Haq berkata, wanita berumur 66 tahun itu ditemui terbaring setelah mengalami kecederaan di kepala selepas diserang seorang pelanggan dalam kedai kopinya pada petang Isnin.

Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada jam 10 pagi Selasa.

Bedah siasat mengesahkan mangsa mati akibat serangan senjata tumpul.

“Ekoran daripada bedah siasat itu, pihak kami telah membuka satu kes siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Pihak polis telahpun menghubungi pihak Kedutaan China selepas sahaja kejadian ini berlaku dan bedah siasat dijalankan,” Ahmad Tarmizi berkata kepada pemberita di Ipoh pada Rabu.

Tambah beliau, pihak polis masih belum membuat sebarang tangkapan.