PETALING JAYA: Polis merekod keterangan pelakon lelaki yang didakwa memukul teman wanitanya dalam kejadian di Ara Damansara di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, keterangan pelakon itu direkod kira-kira jam 9 malam tadi selepas hadir bersama bapanya.

"Pelakon itu tidak ditahan dan hanya direkod keterangan.

“Setakat ini kita telah mengambil keterangan tiga individu termasuk pelakon dan kakak mangsa bagi kes ini," katanya hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

Tambahnya, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai akibat perselisihan faham dan polis juga sedang menunggu laporan perubatan bagi membantu siasatan.

Pada 7 Julai lalu, seorang wanita mendakwa dipukul teman lelakinya yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara, kira-kira jam 3 pagi.

Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya.

Teman lelaki mangsa berusia 37 tahun kemudian meminta wanita berkenaan untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara.

Sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan dipandu teman lelakinya sebelum teman lelaki mangsa memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita berkenaan. - Sinar Harian