ISKANDAR PUTERI: Polis merampas 214 karton minuman keras dipercayai tanpa cukai kastam dianggar bernilai lebih RM98,000 dalam dua serbuan di sekitar Gelang Patah di sini, pada Rabu dan Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M. Kumarasan berkata dalam operasi itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing bagi membantu siasatan.

Beliau berkata dalam operasi pertama kira-kira 7.50 malam, di Lebuhraya Tanjung Pelepas, Tanjung Kupang, Rabu lepas, pihaknya menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

"Hasil pemeriksaan terhadap kereta dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun itu menemukan dan merampas 188 karton pelbagai minuman keras. Kereta terbabit kini disita," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki berkenaan memiliki satu rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah namun saringan air kencing mendapati dia negatif terhadap penyalahgunaan dadah.

"Lelaki itu yang direman hingga hari ini telah dibebaskan dengan jaminan polis. Kertas siasatan kes itu dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Kumarasan berkata dalam operasi kedua di sebuah restoran di Tanjung Pelepas kira-kira 9.30 malam, Khamis, pihaknya merampas 26 karton minuman keras pelbagai jenis dipercayai tanpa cukai kastam.

Beliau berkata seorang lelaki warga asing berusia 31 tahun yang juga pekerja restoran berkenaan kini direman hingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

"Lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah dan negatif terhadap dadah. Pemilik restoran iaitu seorang lelaki tempatan sedang dikesan untuk diambil tindakan," katanya.

Kedua-dua kes katanya disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 manakala warga asing turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA