Polis Pulau Pinang hari ini mengesahkan lima anggotanya dari Balai Polis Air Itam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang berhubung siasatan kes rasuah.

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Ghafar Rajab bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes tersebut masih dibawah siasatan SPRM.

“Tahanan lima pegawai itu memang betul, saya sahkan, tetapi apakah kesnya saya tidak dapat penjelasan lagi dan apa penglibatan mereka,” kata Abdul Ghafar.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan lima anggota polis yang ditahan SPRM awal pagi Ahad.

Dalam serbuan jam 3 pagi itu, kesemua mereka yang ditahan dipercayai terlibat dalam rasuah membabitkan sejumlah amaun yang besar.

Sementara itu dilaporkan serbuan mengejut itu dilakukan SPRM selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Semua anggota terbabit ditahan ketika berada dalam bilik Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) selepas SPRM mengepung balai berkenaan.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk M Samarajoo, berkata semua lima anggota berkenaan kini masih ditahan untuk siasatan lanjut berhubung maklumat .