JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Johor merampas 9,900 karton rokok pelbagai jenis, dipercayai diseludup bernilai RM1.55 juta dalam dua serbuan di Taman Johor, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata susulan itu, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing yang berusia lingkungan 42 hingga 58 tahun, kira-kira pukul 10 pagi, hari yang sama.

Beliau berkata siasatan awal mendapati, salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kes ini dalam pemerhatian kita, mungkin dalam sebulan lebih berdasarkan maklumat diperoleh, dan mungkin sebelum ini pun dia ada buat, (tetapi) masih dalam siasatan kita lagi.

"Selain itu, kita turut merampas dua buah kenderaan yang telah diubah suai bernilai RM180,000," katanya pada sidang media di Markas PPM Tampoi di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Kamarul Zaman turut menggalakkan penduduk yang terjejas akibat banjir agar membuat laporan polis secara dalam talian menggunakan sistem e-Reporting, berkaitan kerugian yang dialami.

"Mangsa banjir boleh membuat laporan berhubung kerugian barangan atau harta benda melalui e-Reporting, yang mana laporan itu dijanakan melalui sistem tersebut untuk membuat tuntutan tanpa perlu hadir ke balai polis.

"Selain itu, kita turut menyediakan anggota di pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi di seluruh negeri, bagi mangsa membuat laporan kerugian akibat bencana itu secara terus, selain boleh berkunjung ke balai berhampiran," tambahnya.

Sistem e-Reporting yang diperkenalkan pada tahun 2017 merupakan inisiatif Polis Diraja Malaysia, bagi memudahkan orang awam membuat laporan secara dalam talian bagi kes kehilangan dokumen atau pun barang yang tidak berkait dengan jenayah.

-- BERNAMA