KUALA LUMPUR: Rampasan dadah dalam pelbagai serbuan sejak 2003 yang cukup untuk membekalkan 1.2 juta pengguna akan melalui proses pelupusan dengan cara dibakar pada Rabu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, dadah yang bernilai RM36.43 juta itu akan dilupuskan selepas ia telah selesai dibicarakan di mahkamah.

"Dadah ini berkaitan dengan 2,844 kertas siasatan dari 2003 hingga 2023. Antara dadah yang akan dilupuskan termasuk 285.53kg methamphetamine bernilai RM34.43 juta, 70.24kg Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) bernilai RM1.05 juta dan 8.67kg ganja bernilai RM433,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.

Katanya, dadah lain yang akan dilupuskan ialah 8.81kg heroin bernilai RM308,000, 189.66 liter cecair ketum bernilai RM18,000 serta 1.91kg pepejal dan 786.32 liter bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah.

“Keseluruhan proses ini akan mematuhi Perintah Tetap Ketua Polis Negara. Bagi memenuhi piawaian alam sekitar, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan menggunakan perkhidmatan syarikat yang pakar dalam pengendalian sisa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rusdi menggalakkan orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti dadah kepada polis dan memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kes sedemikian boleh menghubungi talian hotline JSJN di 012-208 7222 atau balai polis terdekat.