KUBANG PASU: Polis Kedah mengesahkan ada unsur-unsur rasuah berhubung penyeludupan di sempadan negara sejak pintu sempadan Bukit Kayu Hitam dibuka semula awal tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, namun bilangan pegawai dan anggota yang terlibat dalam menerima sogokan daripada kumpulan sindiket amat sedikit.

Beliau berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sentiasa memantau dan melakukan siasatan terperinci sekiranya terdapat laporan berkaitan salah laku pegawai atau anggota.

Katanya, ini termasuk dalam kalangan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan negara.

"Kita perhebatkan dari segi intelligence dan juga penyeliaan daripada JIPS, daripada pengawalan dalaman, macam-macam cerita kita dengar tetapi tidak bermaksud PDRM Kedah ini di tahap below average.

"PDRM Kedah walaupun dekat sempadan, tingkah laku anggotanya kita kawal. Kita ada lawatan sektor, kita akan pertingkatkan disiplin pegawai dan anggota," katanya.

Katanya, jabatan di bawah PDRM antaranya Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan dan Pengurusan Trafik dan Cawangan Khas diarah untuk menggembleng tenaga bagi menangani isu rasuah dan penyelewengan kuasa dalam kalangan para pegawai dan anggotanya.

Mohd Roze berkata demikian selepas menyampaikan hadiah pertandingan Futsal Piala Ketua Polis Kedah di Kubang Pasu hari ini.

Dalam pertandingan itu pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim Bandar Bharu muncul juara kategori lelaki manakala pasukan IPD Kubang Pasu dinobatkan juara bagi kategori wanita.

Kedah akan menjadi tuan rumah kejohanan piala Ketua Polis Negara yang akan berlangsung pada Oktober ini.