JOHOR BAHRU:Polis Johor akan membuka kertas siasatan berhubung satu laporan polis yang dibuat berkaitan kes kartel daging yang diserbu di Senai, dekat Kulai, awal bulan ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata sepertimana kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador semalam, agensi utama yang akan membuat siasatan ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Katanya, Bukit Aman pula akan buka kertas siasatan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

"Tetapi ada satu laporan polis yang dibuat di Kulai berhubung isu ini. Kita akan siasat di bawah Seksyen 298 (A), berbeza dengan seksyen yang dibuka di Bukit Aman.

"Seksyen ini berkaitan menimbulkan suasana tidak harmoni, permusuhan, perpecahan, perkauman, kebencian dan isu agama, kita akan siasat di bawah seksyen tersebut," kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Johor, di sini, hari ini, ketika diminta mengulas perkembangan terkini kes berkenaan.

Menurut beliau, Polis Johor sehingga hari ini telah menerima 15 laporan polis daripada pelbagai agensi kerajaan dan parti politik.

Sementara itu, Ayob Khan berkata kekuatan pegawai dan anggota di bawah Kontinjen Johor dilihat masih mencukupi, meskipun kadar jangkitan COVID-19 dan jumlah kuarantin dalam kalangan mereka dilihat semakin meningkat, setelah dikenal pasti sebagai kontak rapat positif COVID-19.

"Setakat ini, Alhamdulillah, masih cukup. Kita akan mengatur gerak kerja dan (kalau memerlukan) boleh menggunakan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am. Selain itu, kita akan gembleng tenaga anggota dan pegawai yang berada di Ibu Pejabat Daerah (IPD) yang tidak terjejas," katanya.

Ayob Khan berkata jumlah mereka yang yang positif dari IPK dan seluruh Johor adalah 76 orang melibatkan dua pegawai, 29 anggota, empat kakitangan awam, 41 ahli keluarga, sementara mereka yang dikuarantin adalah seramai 401 orang melibatkan 16 pegawai, 366 anggota, tiga kakitangan awam dan 16 ahli keluarga.

"Angka ini mungkin akan meningkat, kita pun sedang menunggu keputusan ujian tersebut sebab ada yang masih belum dapat lagi. Paling tinggi adalah dari IPD Kota Tinggi, setakat ini 13 pegawai, anggota 11, keluarga 12 positif, yang dikuarantin 175," tambah Ayob Khan.

Sementara itu, beliau berkata kira-kira 90 orang kena tahan (OKT) yang didapati positif dalam lokap IPD Kota Tinggi, berkemungkinan akan dipindahkan ke Dewan Arena Segitiga, Kota Tinggi, malam ini, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

[INFOGRAFIK] Kronologi syarikat pembekal guna logo halal tanpa perakuan


-- BERNAMA