JOHOR BAHRU: Sebuah syarikat pembekal makanan sejuk beku serta pengarah dan pengurusnya yang sebelum ini dituduh menggunakan perihal dagangan palsu dalam kes sindiket kartel daging sejuk beku import, hari ini sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini.

Hari ini mereka didakwa atas empat pertuduhan bersabit kesalahan bersubahat dan memiliki barangan dilarang import bernilai RM643,465.39 pada Disember 2020.

Bagaimanapun, tertuduh Yong Chee Keong, 40, yang merupakan Pengarah LY Frozen Food Sdn Bhd mengaku tidak bersalah apabila semua pertuduhan ke atasnya dibacakan secara serentak bersama-sama pertuduhan ke atas syarikat, di hadapan Hakim Wan Mohd Nor Hisham Wan Yaakob.

Mengikut kertas pertuduhan, Yong yang mewakili syarikat dan dirinya didakwa dengan empat pertuduhan memiliki barang-barang larangan berjumlah RM643,465.39 bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas iaitu Tan Siew Huak, 42.

Sementara itu, pengurus syarikat tersebut Chong Kim Kuang, 48, juga mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan syarikat LY Frozen Food, Yong dan Tan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman di kamar berasingan.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di sebuah premis beralamat No. 663, Jalan 3/4, Kawasan Perindustrian Desa Idaman, Senai di Kulai pada 15 Dis 2020.

Mereka didakwa menurut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1966 yang memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM100,000 ke atas Yong dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan, sementara Chong pula dibenarkan ikat jamin RM60,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan yang sama.

Mahkamah turut menetapkan 3 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar dan Nur Suriati Mohamad manakala syarikat, Yong dan Chong diwakili barisan peguam Zamri Idrus, Ridzuan Othman dan Saifuz Zaman Abd Rahman.

-- BERNAMA