PASIR MAS: Polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang membuat panggilan kecemasan palsu berkaitan banjir di seluruh negara, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.


Ringkasan AI
  • Polis akan ambil tindakan terhadap individu yang membuat panggilan kecemasan palsu, dengan hukuman denda RM50,000 atau penjara setahun, kata Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
  • Daripada lebih 1,000 panggilan kecemasan di Pasir Mas, 114 adalah palsu, menyusahkan pihak berkuasa yang berusaha membantu mangsa banjir.
  • Pasukan Tindakan Bencana (DRT) telah bersiap sedia untuk gelombang kedua banjir, dengan 12 kematian direkodkan setakat ini, termasuk lima di Kelantan.


Beliau berkata daripada lebih 1,000 panggilan kecemasan yang diterima Ibu pejabat Polis Daerah Pasir Mas mengenai lokasi memerlukan bantuan, 114 didapati panggilan palsu.

Ayob Khan berkata ia merupakan perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan menyusahkan pihak berkuasa yang bergegas dan bertungkus-lumus untuk sampai lokasi, namun apabila tiba ia didapati palsu.

"Apabila kita menghantar pasukan menyelamat untuk tengok tempat itu, tiada sesiapa. Saya hendak bagi amaran kepada yang buat panggilan palsu, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

"Hukuman membuat panggilan palsu ini adalah denda RM50,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Eloklah perbuatan ini dihentikan, kerana tidak membawa faedah dan menyusahkan orang," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja dan mendengar taklimat banjir di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) oleh Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat di Pondok Polis Repek, di sini hari ini.

Ayob Khan berkata polis akan memburu individu yang membuat panggilan palsu dan kertas siasatan akan dibuka agar ia menjadi pengajaran.

Beliau berkata panggilan palsu ini bukan sahaja berlaku di Kelantan, tetapi juga di negeri-negeri lain yang terjejas dengan kejadian banjir.

Sementara itu ketika mengulas kesiapsiagaan polis dalam menghadapi gelombang banjir seterusnya beliau berkata, pihaknya telah mengaktifkan Pasukan Tindakan Bencana (DRT), termasuk meletakkan aset-aset polis dalam keadaan bersiap sedia.

"Pasukan DRT kita memang telah bersiap sedia untuk gelombang kedua, dan markas DRT Zon Tenggara Briged 8 PGA (Pasukan Gerakan Am) kekal aktif termasuk PKTK yang mengatur gerak pasukan penyelamat di Pasir Mas.

Ayob Khan berkata 12 kematian direkodkan di beberapa negeri yang terjejas banjir pada gelombang pertama baru-baru ini, dengan lima daripadanya di Kelantan.

-- BERNAMA