Pihak polis sedang memburu dua lelaki yang melarikan sebuah kereta yang terdapat seorang kanak-kanak di dalamnya di Taman Melodies di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata setakat ini pihaknya percaya kejadian itu bukan bermotifkan culik tetapi kes mencuri kenderaan jenis BMW 740i tersebut.

"Budak lelaki berumur enam tahun terbabit kemudiannya ditinggalkan beberapa jam selepas dia dilarikan. Tiada wang tebusan diminta kedua-dua suspek.

"Kita merasakan mereka mahu kereta itu sahaja, namun kereta itu pun ditinggalkan. Ini mungkin disebabkan banyak kenderaan sekarang yang dilengkapi alat teknologi moden seperti butang untuk menghidup dan mematikan enjin.

"Jadi kalau kita tidak memiliki kunci kenderaan, maka enjin kenderaan itu tidak boleh dihidupkan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata pasukan forensik sudah memeriksa kereta itu dan mendapati hanya terdapat sedikit kesan kemek pada bahagian belakang kenderaan berkenaan.

Dalam kejadian itu, pihak polis menerima laporan mengenai sebuah kereta yang terdapat kanak-kanak di dalamnya telah dilarikan dua individu.

Kanak-kanak berkenaan kemudiannya ditemukan orang ramai di kawasan taman permainan kanak-kanak di Teluk Danga pada tengah malam hari kejadian sementara kereta itu ditemukan dua hari kemudian di Skudai.