Polis akan panggil semula Najib, Rosmah berhubung 1MDB

Sinar Harian
September 28, 2018 17:38 MYT
Polis berkata pihaknya memerlukan maklumat daripada mereka bagi membantu siasatan.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman akan memanggil semula bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung siasatan skandal kes 1MDB.
Pengarahnya, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, berkata pihaknya memerlukan maklumat daripada mereka bagi membantu siasatan.
“Lebih 70 keterangan daripada pelbagai individu berhubung siasatan telah direkodkan setakat ini.
"Najib dan isterinya akan dipanggil lagi untuk dirakam keterangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Namun, Amar Singh tidak mendedahkan bila mereka akan hadir.
BACA: Rosmah akan dipanggil dalam masa terdekat - Polis
BACA: Lebih 12 jam di SPRM, Rosmah Mansor akhirnya keluar
Sementara itu, Amar Singh turut mengesahkan mengambil keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, kelmarin berhubung kandungan ceramahnya mengenai syarikat itu sebelum PRU14, 9 Mei lalu.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya akan memanggil Rosmah dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berkaitan rampasan barang kemas yang dipercayai miliknya yang dilakukan polis Jun lalu.
Sebelum ini, Najib ditahan untuk siasatan berhubung skandal 1MDB membabitkan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadinya.
Najib turut menghadapi tiga pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) dan empat lagi pertuduhan pindaan berhubung RM42 juta dana SRC International dalam akaun peribadinya.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Amar Singh Ishar Singh #AMLA #bekas perdana menteri #Bukit Aman #Jabatan Siasatan Jenayah Komersial #JSJK #Najib Razak #Rosmah Mansor #siasatan #Skandal 1MDB
;