Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memberi keterangan kepada polis dalam masa terdekat berhubung dakwaan Ketua Umum PKR itu disiasat oleh pihak berkuasa Singapura kerana terbabit dalam kes liwat di negara itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, DSP Mohd Faisal Mohd Noor berkata calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson itu sepatutnya memberi keterangan pada Khamis selepas dimaklumkan kepada pembantu peribadinya.

Bagaimanapun, katanya, sesi mengambil keterangan ditangguh kerana Anwar sibuk dengan jadual kempennya yang padat.

"Kami masih menunggu masa sesuai untuk Anwar hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson atau pegawai penyiasat yang akan menemui beliau untuk mengambil keterangan," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Mohd Faisal berkata setakat ini mereka telah merekodkan keterangan daripada empat individu termasuk pengadu iaitu Pengarah Komunikasi Strategik PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, yang membuat laporan polis berhubung berita palsu berkenaan, Isnin lalu.

Beliau berkata tiga lagi individu lain ialah anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam, wakil media dari Singapura serta wakil media Utusan Malaysia.

Mohd Faisal berkata siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 199 dan sebaik siasatan lengkap, ia akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk penelitian dan arahan selanjutnya.

Ahad lalu, Lokman menerusi satu kiriman dalam akaun Facebook miliknya memetik sumber berita kononnya dari BERITAmediacorp iaitu sebuah portal berita Berita Malaysia di bawah konglomerat Mediacorp mendakwa kononnya Anwar disiasat oleh pihak berkuasa Singapura kerana terbabit dalam kes liwat di negara itu.

Bagaimanapun, portal berita tersebut yang berpangkalan di republik itu menafikan telah mengeluarkan berita tersebut dan semakan juga mendapati Lokman telah memadamkan kiriman berkenaan di laman sosialnya.

-- BERNAMA