Pengamal media buat pertama kalinya selepas sembilan hari berkampung di Pantai, Seremban bagi liputan kes kehilangan remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, diajak untuk bersama-sama menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) gadis itu.

Pelawaan berkenaan dibuat Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar kepada petugas media pada pagi ini menerusi aplikasi whatApps.

"Salam.. Media yang nak cover Op SAR boleh tunggu di kaki Gunung Berembun," katanya ringkas.

Sebelum ini, pengamal media hanya menunggu di khemah yang disediakan berhampiran pintu resort remaja berkenaan dilaporkan hilang dan juga Balai Polis Pantai, Seremban.

Sementara itu, sidang media berkaitan operasi berkenaan dijangka akan diadakan pada pukul 5 petang ini di Balai Polis Pantai, Seremban.

Operasi bagi mengesan Nora Anne yang memasuki hari kesembilan hari ini, setakat semalam membabitkan 296 anggota.


Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya oleh keluarganya pada pukul 8 pagi hari berikutnya.