Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedia mempertimbangkan cadangan pembinaan jambatan baharu di Jalan Kesban, Kampung Nibong, Pengkalan Kubor di sini bernilai RM10 juta, bagi mengatasi masalah banjir di daerah berkenaan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta membuat kajian berhubung cadangan itu.

“Sebuah jambatan akan dibina di sebahagian Sungai Golok yang boleh mengatasi masalah air bertakung, sebab bila air lambat keluar ia bertakung.

“Di sini (Kelantan) dipanggil banjir ‘termenung’ satu fenomena kerana tiada saliran. Saya telah terima cadangan melalui Ketua Umno bahagian di sini supaya dibina jambatan baharu. Saya akan minta Jabatan Teknikal JPS kaji cadangan ini sekiranya perkara itu sesuai dan wajar dilakukan, saya akan lulus peruntukan segera,” kata beliau pada sidang media selepas melawat pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bunohan di sini hari ini.


Cadangan pembinaan jambatan baharu itu disuarakan oleh pemangku Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz berikutan kawasan berkenaan sering berlaku banjir termenung berikutan tiada saluran.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid.

Beliau juga memaklumkan beberapa buah sekolah dikenal pasti sebagai pemindahan banjir yang akan dilengkapi kemudahan tambahan seperti tandas dan bilik mandi.