PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan akan pertahankan hak setiap rakyat di negara ini.

Beliau menegaskan sebarang usaha yang mungkin melemahkan semangat kejituan dan perpaduan dalam rakyat pelbagai kaum harus dihindari.

Menurutnya, sejarah membuktikan hancurnya tamadun sesebuah negara bukan sahaja kerana tata kelola dan rasuah, bahkan api perkauman dan kefanatikan agama yang dimainkan.

"Negara ini tegak dulunya, tegak sekarang dan InsyaAllah akan terus tegak hebat dengan memperakui kontrak sosial antara semua kaum dan jaminan semua bahawa hak setiap warganegara mengamalkan agama mereka, memuliakan budaya mereka termasuk suku kaum mereka tetap dipertahankan.

"Insya-Allah Kerajaan Perpaduan dengan negara MADANI akan mempertahankan hak setiap rakyat di bumi bertuah ini," katanya.

Malaysia harus terkenal dengan jaminan keadilan bagi semua rakyat - PM


Beliau berkata demikian  ketika menyampaikan amanat sempena Hari Kebangsaan 2023, yang turut dihadiri ebih 6,000 hadirin di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Perdana Menteri menegaskan, pada masa sama, tiada siapa yang boleh mempertikai perkara mutlak yang disebut dalam Perlembagaan negara.

"Soal bahasa Melayu, soal Islam sebagai agama Persekutuan, soal hak keistimewaan Bumiputera dan kedaulatan Raja-raja Melayu," ujarnya.

Antara lain Perdana Menteri turut menekankan pentingnya perpaduan dalam mempertahankan kemerdekaan negara bagi menggilap Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat. 

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kabinet lain.