KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah ucapan tahniah sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-77 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Patik mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala semoga Tuanku Sultan dan Tengku Permaisuri serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

"Semoga Duli Tuanku kekal qarar (tenang) memerintah rakyat Selangor Darul Ehsan dengan adil dan saksama," katanya menerusi hantaran dimuat naik dalam Facebook rasminya, hari ini.


Anwar berkata beliau serta rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada baginda.

"Dirgahayu Tuanku," katanya.

Sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor, baginda turut berkenan mengurniakan darjah kebesaran dan pingat kepada 104 penerima hari ini.

-- BERNAMA