Luxon yang tiba di Malaysia semalam untuk kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan itu pada November 2023, disambut Anwar sejurus tiba pada 11.55 pagi di kediaman rasmi perdana menteri itu.
Majlis makan tengah hari itu turut dihadiri beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Terdahulu Anwar dan Luxon mengadakan pertemuan dua hala bagi membincangkan hal-hal berkaitan hubungan antara Malaysia dan New Zealand serta saling bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa melibatkan kepentingan bersama.
Pada 2023 New Zealand merupakan rakan dagangan ke-28 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-22 dan sumber import ke-27 terbesar dalam kalangan negara di rantau Oceania.
Jumlah perdagangan antara Malaysia dan New Zealand adalah RM11.56 bilion (AS$2.54 bilion).
-- BERNAMA