Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) kini memperketat prosedur operasi standard dari segi kesihatan bagi pengambilan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0 bermula pengambilan Siri 13/2016 yang dilaksanakan hari ini.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid berkata inisiatif berkenaan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kesihatan bagi memastikan pelatih yang bakal mengikuti program PLKN tidak mempunyai penyakit serius yang boleh menjejaskan kesihatan mereka sepanjang berada di kem latihan PLKN.

"Kadang-kadang pelatih sendiri tidak mengetahui tahap kesihatan mereka sehingga masalah kesihatan berlaku kepada mereka. Jadi kita lakukan prapengambilan profiling dengan lebih efektif berbanding sebelum ini," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran kemasukan Pelatih PLKN 2.0 Siri 13/2016 di Dataran Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka hari ini.

Beliau berkata beberapa penambahbaikan turut dilakukan termasuk mempertingkat kesihatan dan keselesaan pelatih di kem latihan, mengawal selia jadual latihan bagi Fasa 1 PLKN 2.0 dalam usaha melahirkan modal insan berkemahiran dan berdisiplin selaras dengan aspirasi negara.

Katanya lapan modul baharu yang diperkenalkan pada siri berkenaan ialah Kerohanian, Service Learning, I-upgrade, Tech and Talk, Malaysiaku, Fit4life, Be Safe, Be Alert dan myFuture yang dilihat dapat membentuk jati diri yang lebih tinggi dalam jiwa pelatih bagi mempertahankan kedaulatan negara daripada
pelbagai ancaman termasuk ancaman siber, Daish dan fitnah.

Ehsanuddin berkata PLKN 2.0 juga memberi fokus terhadapa kerjasama antara ibu bapa, pelatih dan juga kerajaan.

"Kita harapkan ibu bapa akan turut memainkan peranan memberi sokongan kepada anak-anak mereka yang mengikuti program ini dengan memilih bidang kerjaya yang mereka minati dan melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang di peringkat sijil dan diploma dengan kerjasama 10 buah kementerian," katanya.

Beliau berkata terdapat kira-kira 17,500 peluang latihan lanjutan di 400 buah institut latihan kemahiran untuk meningkatkan kebolehpasaran dan kemahiran para pelatih sebelum mereka memasuki bidang pekerjaan sebenar.

Sementara itu, katanya seramai 20,000 pelatih akan memulakan latihan mereka di 81 kem di seluruh negara bermula hari ini hingga 24 Mei.