KUALA LUMPUR: Platform Malaysia @ Heart atau MyHeart yang menyediakan pelbagai usaha memudah cara diaspora pulang dari luar negara untuk berkhidmat kepada negara akan beroperasi bulan depan.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan platform itu merangkumi peluang pekerjaan, maklumat pasaran kerja, pendidikan untuk anak-anak serta memudah cara permit masuk pasangan dan anak-anak bukan warga negara.

"Antara sebab utama pembangunan inisiatif ini adalah untuk menyediakan platform sehenti yang menghubungkan diaspora dengan tanah air," menurut KSM dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu.

Ia bagi menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) mengenai strategi, insentif dan pencapaian terkini kerajaan dalam menarik bakat asing bagi memenuhi keperluan pembangunan setiap bidang serta memberi isyarat kepada rakyat Malaysia yang berbakat untuk pulang dan berkhidmat kepada negara.

Menurut KSM, berdasarkan hasil dapatan kaji selidik yang dilaksanakan dalam kalangan diaspora Malaysia pada awal 2021, sebanyak 92 peratus daripada mereka bersedia untuk menyumbang kepada negara dalam pelbagai kapasiti manakala 85 peratus berhasrat kembali ke Malaysia pada masa akan datang.

Kementerian itu memaklumkan sejak 2011, lebih 10,000 permohonan daripada diaspora Malaysia telah diterima TalentCorp untuk kembali bekerja di tanah air di bawah Program Kepulangan Pakar.

Daripada jumlah itu, lebih 6,000 pakar telah diluluskan untuk kembali di bawah program itu.

-- BERNAMA