KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hostel Centennial, Kg Acheh, Manjung, Perak mengikut tarikh dijadualkan pada 10 Mac 2021.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia disebabkan baki kes aktif di lokaliti itu menunjukkan trend penurunan, terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,551 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 463 kes positif telah dilaporkan," katanya dalam sidang media pada Selasa.

Dalam pada itu katanya, seramai 269 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu, 251 dikompaun manakala 18 direman.

"Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (85) tiada penjarakan fizikal (66), tidak memakai pelitup muka (65), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (24), aktiviti pusat hiburan (14) dan lain-lain (15)," ujarnya.

Dalam pada itu kata Ismail, kerajaan turut bersetuju untuk membenarkan penggambaran di luar studio di kawasan PKPB dan PKPP bermula 10 Mac 2021.

Ujarnya, ia tertakluk kepada SOP dengan mematuhi SOP Pembangunan Kandungan Kreatif dan perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

"Selain itu turut dibenarkan persembahan di lounge hotel dengan mematuhi semua SOP acara langsung iaitu dengan kapasiti kehadiran pengunjung 50 peratus ruang premis bagi kawasan PKPB.

"Manakala kehadiran penonton mengikut keluasan premis dan mengamalkan penjarakan fizikal bagi kawasan PKPP," katanya.

[SIDANG MEDIA] Perintah Kawalan Pergerakan - 09 Mac 2021

Jelasnya lagi, pihak berkuasa melalui Op Benteng pada Isnin juga telah menangkap 29 orang pendatang tanpa izin (PATI) dan merampas empat buah kenderaan darat.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 79 buah bot atau kapal di perairan negara dan sembilan buah kenderaan darat melalui 11 aktiviti penglihatan.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 72 operasi sanitasi dilakukan meliputi 22 zon merah, enam zon jingga, sembilan zon kuning dan tiga zon hijau di seluruh negara.

"Ia melibatkan 279 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 220 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 64 buah jentera JBPM," katanya.

Sementara itu ujarnya, seramai 586 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara pada Isnin.