KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di enam lokaliti, sementara dua  lokaliti baharu diumum manakala satu lagi dilanjutkan pelaksanaannya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD ditamatkan di empat kawasan di Tawau, Sabah iaitu Penjara Tawau, Kuarters Penjara Taman Ehsan, Kampung Pukat Tanjung Batu Laut dan Kampung Baru Pasir Putih.

Sementara dua lokaliti di Sandakan ialah PPR Taman Murni serta Lorong 12, 15 dan 16 Taman Fajar.

Dalam pada itu jelasnya, dua lokaliti baharu yang diumum PKPD bermula 11 sehingga 24 Julai adalah Apartment Sri Rakyat Bukit Jalil di Kuala Lumpur serta Blok 11 dan 12 Lorong 4, Taman Nuri, Sandakan.

Satu lokaliti yang dilanjutkan PKPD bermula 10 Julai sehingga 15 Julai 2021 pula adalah di Jalan Kubur, Kuala Lumpur.

Sementara itu jelas Ismail Sabri, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan 83,031 pemeriksaan pada Khamis.

Ini termasuk 2,568 buah kilang, 16,960 premis perniagaan, 900 tapak binaan dan 379 asrama penempatan pekerja.

Daripada jumlah itu, 56 premis diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP.

Dalam pada itu katanya, seramai 531 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP pada Jumaat.

Daripada jumlah itu, seramai 499 individu dikompaun, 32 lagi direman manakala dua lagi dijamin.

Antara kesalahan direkodkan ialah rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis (109), tiada penjarakan fizikal (114), tidak memakai pelitup muka (69), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (68), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (44), membawa penumpang berlebihan (38), premis gagal patuhi arahan (20) dan majikan gagal memastikan kapasiti kehadiran pekerja/menjalani saringan (13).