Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail berkata kebenaran yang hanya dilaksanakan di kawasan kariah masing-masing itu turut membenarkan ibadah solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti keagamaan.
Mohd Ajib berkata ketetapan baharu yang diumumkan Jawi itu diputuskan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras pengumuman terkini kerajaan berhubung perkembangan PKP.
"Aktiviti qiamullail dibenarkan 100 orang sahaja mulai jam 5 pagi dengan penjarakan fizikal 1.5 meter," katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikut adalah antara ketetapan baharu berhubung ibadah solat dan aktiviti keagamaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan:
- Kawasan PKP (Kuala Lumpur)
- Tadarus al-Quran dan Majlis Khatam al-Quran secara bersemuka dibenarkan dengan kapasiti separuh dewan solat utama dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.
- Takbir Hari Raya pada malam 1 Syawal dibenarkan dengan peserta tidak melebihi 20 orang dalam kalangan ahli jawatankuasa dan pegawai masjid hingga 10 malam.
- Jamuan selepas solat sunat Aidilfitri, Majlis Jamuan Hari Raya dan aktiviti ziarah kubur adalah tidak dibenarkan.
- Kuliah dan tazkirah secara bersemuka dibenarkan dengan kapasiti separuh dewan solat utama dengan penjarakan 1.5 meter.
- Kawasan PKPP (Putrajaya dan Labuan)
- Tadarus al-Quran dibenarkan secara bersemuka dengan kapasiti separuh dewan solat utama manakala Majlis Khatam al-Quran dibenarkan mengikut kapasiti dewan solat utama dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.
- Takbir Hari Raya pada malam 1 Syawal dibenarkan dengan jumlah peserta mengikut kapasiti dewan solat utama masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan 1.5 meter sehingga jam 10 malam.
- Jamuan selepas solat sunat Aidilfitri dibenarkan secara berbungkus manakala Majlis Jamuan Hari Raya tidak dibenarkan.
- Kuliah dan tazkirah secara bersemuka dibenarkan dengan separuh kapasiti masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.
- Aktiviti Ziarah Kubur dibenarkan dengan tidak melebihi enam orang bagi satu petak kubur dan tidak melebihi 30 minit.
-- BERNAMA