PKP: Malaysia wajar ikut jejak Asia Timur, bukan terpengaruh dengan Barat - Prof Jomo
Aida Aziz
Ogos 7, 2021 13:01 MYT
Ogos 7, 2021 13:01 MYT
IPOH: Malaysia wajar mengikut jejak langkah negara-negara di Asia Timur melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam menangani pandemik COVID-19 berbanding mengambil pendekatan mirip negara-negara Barat.
Dalam masa sama, negara juga, tegas pakar ekonomi, Profesor Jomo Kwame Sundaram, tidak sepatutnya bergantung 100 peratus kepada pelaksanaan PKP, sebaliknya, perlu mencari kaedah lain bagi memastikan rakyat dan ekonomi tidak terjejas teruk.
Jomo turut menyifatkan pelaksanaan PKP ketika ini tidak mencapai sasarannya.
"Kita lihat di Asia Timur tidak mengenakan langkah-langkah seperti PKP selain daripada Wuhan dan province (wilayah) sekitar dengannya. PKP itu adalah satu cara untuk menghadapi wabak yang dilihat tidak tepat dengan apa yang kita nak capai.
"Di Korea misalnya iaitu negara kedua yang kena wabak ini, mereka tidak pernah menggunakan pendekatan PKP, maksudnya kalau perlu, patutnya bersasar.
"Kita sudah banyak terpengaruh dengan dasar-dasar Barat, misalnya PKP di sini dikenakan sebaik saja UK (United Kingdom) membuat perkara sama.
"Kita terpengaruh kerana kita selalu mengambil pendekatan pandang ke Barat, jarang sekali kita pandang ke Timur sedangkan di Asia Timur seperti di Jepun, Korea Selatan malah negara yang jauh lebih miskin seperti Vietnam dan Laos tidak pernah gunakan PKP secara menyeluruh," ujarnya.
Jomo berkata demikian dalam Webinar Perdana dengan topik Cara Keluar Kemelut Pandemik COVID-19, anjuran Jabatan Pascasiswazah, Penyelidikan dan Perundingan, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) menerusi aplikasi Zoom pada Sabtu.
Menurut beliau lagi, negara wajar mempunyai pelan sokongan lain yang berkesan dan kena pada masanya, bukan hanya PKP semata-mata.
Bagaimanapun, Jomo tidak menafikan kepentingan PKP dilaksanakan di beberapa kawasan bersasar yang mempunyai kes COVID-19 tinggi.
"Di tempat tertentu misalnya Lembah Klang memang tidak dinafikan keadaan sudah di luar kawalan dan tindakan perlu untuk mencegah wabak itu, seperti PKP bersasar.
"Malangnya, kita dapati usaha kawalan itu masih dan banyak bergantung kepada PKP dan hanya sedikit usaha sampingan dilaksanakan, malah kemudahan kesihatan untuk mangsa COVID-19 di sana juga tidak mencukupi," tegas Jomo.
#PKP
#perintah kawalan pergerakan
#COVID-19
#asia timur
#barat
#Pakar Ekonomi
#Profesor Jomo Kwame Sundaram
#Jomo Kwame Sundaram
#Wuhan
#laos
#Vietnam
#Malaysia