Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencapai kadar pematuhan 92 peratus pada Isnin, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail dalam satu sidang media berkata sebanyak 120,615 kenderaan diperiksa dan pemandu dinasihati untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah membuat sebanyak 1,719 hebahan di seluruh negara.

“Walaupun hanya lapan peratus, tetapi masih lagi ada dalam kalangan rakyat yang keluar dari rumah dan gagal untuk mematuhi larangan yang dikeluarkan kerajaan,” katanya.


Walaupun kadar pematuhan PKP meningkat, pemahaman mengenai pentingnya penjarakan sosial (social distancing) sejauh satu meter oleh orang awam masih kurang.

“Ini masih gagal dilaksanakan hampir sepenuhnya.

“Sewaktu membayar bil, kita lihat masih lagi (ramai berdiri dengan) jarak kurang dari satu meter.

“Saya menyeru dan berharap rakyat kita... selain patuh kepada PKP, apabila keluar membeli barangan keperluan, penjarakan sosial perlu dipatuhi,” nasihatnya.


Tambahnya, mulai Isnin, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membantu memastikan penjarakan sosial dilaksanakan di pasar-pasar basah dan pasar raya.

“Kami perlu ada peraturan untuk masuk ke dalam pasar dan pasar raya, mesti secara berperingkat-peringkat.

“Ini supaya penjarakan sosial itu dapat dilakukan,” katanya.