KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang yang dijadualkan berakhir pada Khamis ini tidak akan dilanjutkan.

Sebaliknya, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

[SIDANG MEDIA] Perintah Kawalan Pergerakan (PKP/PKPB/PKPD) - 02 Mac 2021

Beliau memberitahu, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kes COVID-19 menunjukkan trend penurunan dengan kadar kebolehjangkitan atau nilai R-naught  juga menurun daripada 1.2 kepada 0.8 peratus.

Selain itu, katanya, kes kluster dan sporadik serta kes dalam komuniti juga merekodkan penurunan.

"Sementara itu, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak kekal dengan status PKPB," katanya dalam sidang akhbar di sini, pada Selasa.

Ismail Sabri menambah, enam lagi negeri iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan ditukar status daripada PKPB kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan Perlis kekal berstatus PKPP.

Beliau memberitahu pelaksanaan PKPB dan PKPP bagi negeri-negeri itu akan berkuatkuasa bermula 5 Mac ini (Jumaat) sehingga 18 Mac 2021, kecuali Sarawak iaitu dari 2 Mac sehingga 15 Mac ini.

"Sidang Khas juga bersetuju membenarkan pergerakan rentas daerah kecuali Sabah, namun rentas negeri masih lagi tidak dibenarkan setakat ini kecuali.

"Bagi negeri Sabah, kerajaan negeri memohon agar sekatan rentas daerah dikekalkan untuk tempoh dua
minggu lagi, manakala aktiviti barter trade dan  transhipment akan diaktifkan semula dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.," jelasnya.

Dalam pada itu katanya, setakat semalam polis menahan 400 individu atas kesalahan ingkar SOP dengan 352 daripadanya dikompaun manakala 48 individu lagi direman.