Beberapa sektor perlu diberikan kelonggaran untuk beroperasi agar proses penjanaan ekonomi dapat diteruskan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan banyak memberikan kebaikan, namun sektor penting perlu juga diberikan ruang untuk beroperasi agar ekonomi setempat dapat bergerak.

"Tapi pandangan peribadi saya, kalau nak angkat, angkatlah dengan perlahan-lahan. Tapi siang hari diperlonggarkan sedikit, beri ruang orang bekerja dan ekonomi bergerak.

"Ada benda, macam pentadbiran Pejabat Tanah sebab Kelantan kalau tutup semua pejabat sebulan, tak ada hasil. Bukan Kelantan sahaja, malah seluruh negara," kata Mohd Amar.

Beliau berkata demikian ketika ditanya media berhubung langkah melanjutkan tempoh PKP hingga 12 Mei sepertimana diumumkan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Langkah PKP dijalankan dalam usaha kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19 yang kini menjangkiti lebih 2.7 juta di seluruh dunia dengan 190,000 kematian.

Beliau menjelaskan, kelonggaran di waktu siang mungkin boleh dipertimbangkan oleh kerajaan bagi sektor sektor penting beroperasi.

Kelantan tidak mencatatkan kes positif COVID-19 sejak enam hari berturut-turut dengan hanya enam pesakit masih dirawat di hospital.