KUALA LUMPUR: Aktiviti rakaman bagi penggambaran filem, drama, dokumentari, animasi, produksi muzik dan seumpamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dibenarkan bagi rakaman dalaman di studio rasmi yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sahaja.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam satu kenyataan memaklumkan studio rasmi ialah seperti studio Finas, Studio Iskandar Malaysia dan Studio Jelas Juta dengan operasi bermula 25 Mei dari 8 pagi hingga 8 malam.

Selain itu, aktiviti penggambaran yang dijalankan adalah dengan jumlah kru minimum tanpa penonton serta perlu membuat permohonan Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) selain tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) industri kreatif yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Finas juga ingin mengingatkan kepada semua pihak untuk mematuhi SOP ditetapkan MKN serta semua garis panduan meliputi protokol pencegahan penyakit dan sekatan, saringan kesihatan, pembersihan dan nyah kuman premis, penjarakan fizikal dan tatacara keselamatan pekerja serta tindak balas kecemasan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut Finas akan memaklumkan perincian SOP industri kreatif yang baharu pada Isnin ini dan perkembangan terkini melalui hebahan media, laman sesawang www.finas.gov.my serta media sosial Facebook, Instagram dan Twitter.

-- BERNAMA