KUCHING: Pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan bertujuan untuk menakrifkan semula Malaysia, kata bekas Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri-Pusat dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Sebaliknya, tegas Hasidah pindaan Perlembagaan itu menerusi Artikel 1 perenggan 2 dan Artikal 160 adalah untuk memperbetulkan definisi sebenar Persekutuan mengikut kenyataan dan sejarahnya.

"Saya bersyukur dan terima kasih di atas pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan di Parlimen awal bulan ini. Apa yang saya harapkan semua ahli Parlimen untuk memberi sokongan kepada RUU ini.

"Kepada ahli Parlimen Semenanjung, jangan risau... kita bukan mahu mendefinisikan semula Persekutuan atau Malaysia. Sebagai contoh, kita mahu Artikel 160 dipinda (kerana) menunjukkan perjalanan negara Malaysia dari awal," katanya.


Parlimen | RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan dibentang

Beliau berkata demikian selepas ditemui Astro AWANI di Kampung Lintang, Kuching pada Sabtu.

Tambah Hasidah, pindaan ini penting memandangkan ia menepati MA63 sekali gus melambangkan sejarah Malaysia itu sendiri.

"Tiada yang lebih atau kurang... kita masih satu Persekutuan yang sama-sama bergabung menubuhkan Malaysia. Sebab itu pindaan ini penting untuk kita sokong kerana ia melambangkan sejarah negara kita," katanya.

Pada 3 November lalu, Kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat antaranya untuk memasukkan negeri-negeri Tanah Melayu dan negeri-negeri Borneo.

RUU bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan itu dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.