KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Perangkaan 1965 yang disasarkan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai 2024, bertujuan memperkasa landskap statistik negara yang didokong oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ini susulan persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 Sept, 2020, membabitkan cadangan jabatan tersebut untuk mengukuhkan sistem yang dikenali sebagai Pelan Pengukuhan Sistem Statistik Negara (PSSN).

Antara agenda penting PSSN adalah Pindaan Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) yang turut bertujuan memperkasakan peranan dan fungsi DOSM, kata beliau.

"DOSM terus mengorak langkah menghasilkan statistik-statistik penting seiring perubahan landskap globalisasi, ekonomi dunia, kesejahteraan sosial dan alam sekitar," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Persidangan Statistik Malaysia ke-10 di sini, hari ini.

Berkongsi sejarah statistik Malaysia, Mohd Uzir berkata penyusunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bermula pada 1961 apabila DOSM atau Biro Statistik ketika itu, mengeluarkan data pertama yang menumpukan sektor pertanian, pengeluaran petroleum dan beberapa sektor utama lain.

Mohd Uzir berkata walaupun KDNK menjadi petunjuk ekonomi signifikan, ia tidak dapat menggambarkan situasi sosial masyarakat serta kebersediaan sesebuah negara dalam menghadapi ancaman.

Oleh itu, terdapat permintaan jelas daripada penggubal dasar, kerajaan, ahli akademik dan orang ramai untuk menggerakkan rangka kerja pengukuran statistik melangkaui KDNK ketika Forum Peringkat Tertinggi Statistik Rasmi anjuran Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Statistik, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada awal tahun ini.

Sehubungan itu, katanya, data rentas sempadan KDNK memerlukan gabungan penunjuk ekonomi, alam sekitar dan sosial yang melangkaui ukuran aktiviti pasaran serta mengambil kira elemen berkaitan kesejahteraan rakyat serta kemampanan alam sekitar.

Malah, beliau berkata, konsep Malaysia MADANI menggariskan enam nilai teras bagi mewujudkan kesejahteraan sosial.

"Daripada senarai indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan teras Malaysia MADANI, adalah jelas bahawa indikator penanda aras ke arah kesejahteraan sosial rakyat adalah di luar KDNK," katanya.

-- BERNAMA