Ringkasan AI
- Peningkatan pengurusan e-waste: Malaysia akan memperkasa kaedah pengurusan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) melalui konsep Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR), melibatkan pengeluar, pengimport, pengguna, dan pusat pengumpulan berdaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS).
- Cabaran pengumpulan: Sehingga kini, hanya satu peratus e-waste berjaya dikumpulkan. Kerajaan akan menambahkan pusat pengumpulan di lokasi strategik untuk memudahkan pengguna dan mengelakkan urusan dengan premis haram.
- Komitmen industri: Semua penggiat industri, badan korporat, dan sektor swasta komited dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 dan amalan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) bagi memastikan pengurusan e-waste yang holistik.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya akan membuat sesi libat urus supaya pihak berkenaan sedia berdepan dengan cara pengurusan baharu apabila ia digubal dan dikuat kuasa kelak.
“Ini akan membabitkan pihak pengeluar, pengimport, pengguna dan pusat pengumpulan serta pemerolehan e-waste berdaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Ia bagi mewujudkan sistem pengurusan e-waste yang holistik di negara ini kerana berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2021, setiap individu secara purata menghasilkan 7.6 kilogram (kg) e-waste dengan jumlah keseluruhan 57.4 juta tan metrik terhasil di seluruh dunia.
“Keadaan ini membimbangkan kerana hanya 17.4 peratus e-waste yang dilaporkan dikitar semula atau dilupus secara mesra alam melalui Environmentally Sound Management (ESM) dan ia perlu dibuat bersama kerana mereka bukan hanya jadi pengeluar," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Jom E-Waste 2024 sempena Hari E-Waste Antarabangsa di AEON AU2, di sini, pada Sabtu.
Jelasnya, ia menjadi cabaran untuk negara yang turut berdepan masalah sama dengan trend penghasilan e-waste dijangka mencecah 24.5 juta unit menjelang 2025 namun hanya satu peratus yang berjaya dikumpulkan setakat ini.
Bagi memastikan isu itu ditangani dengan baik, Nik Nazmi berkata kerajaan akan menambah pusat pengumpulan e-waste di lokasi strategik memandangkan hanya 251 premis berdaftar di bawah JAS setakat ini.
Beliau berharap selain dapat memudahkan pengguna, ia dapat mengelakkan orang ramai daripada berurusan dengan premis haram yang mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesan terhadap alam sekitar.
"Saya yakin semua penggiat industri, badan korporat dan sektor swasta akan terus komited bersama kerajaan dalam mencapai indikator ditetapkan di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
"Kerajaan melihat perkembangan positif apabila semakin banyak syarikat di Malaysia kini beri perhatian serius terhadap penjagaan alam sekitar, aspek sosial dan tadbir urus dalam operasi perniagaan untuk kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa,” ujarnya.