KUALA LUMPUR: Ibu-bapa dinasihatkan agar memantau pergerakan anak mereka agar tidak melakukan aktiviti lasak sekurang kurangnya dua minggu selepas mendapatkan vaksinasi COVID-19 susulan Pelancaran Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) hari ini.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, setiap kanak-kanak yang ingin mendapatkan vaksinasi COVID-19 juga perlu mendapatkan rehat dan tidur yang secukupnya.

"Mak ayah kena jaga anak supaya dapat tidur dan rehat dengan baik sebelum pergi vaksin. Kalau dipanggil AEFI (kesan advers susulan imunisasi), pertamanya biasa akan bengkak sikit, akan hilang satu dua hari.

"Kita iIbu bapa) boleh bagi dia makan ubat tahan sakit, kalau demam pun sikit sahaja. Simptomatiknya dia akan rasa lemah sakit kepala, itu juga satu dua hari sahaja, kalau lebih satu dua hari dia kena pegi hospital cepat, sebab ada segelintir yang jadi serius " jelasnya ketika ditemubual Astro AWANI pada Khamis.

Mengulas mengenai kesan terhadap kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, jelas Dr Noor Azmi, statistik membuktikan hanya 12 kanak-kanak daripada 86 juta di Amerika Syarikat mengalami kesan serius selepas mendapatkan vaksinasi.

Bagaimanapun tambahnya, kesemua kanak-kanak itu sembuh selepas menerima rawatan yang diperlukan.

"Setakat ini 86 juta di Amerika Syarikat (AS) telah diberi suntikan, hanya 12 orang serius itu pun sembuh semua.

"Mak ayah selepas anak diberi suntikan, nasihat anak jangan buat aktiviti lasak, jangan pergi berenang, berbasikal dan sebagainya, tengok anak kita.

"Adakah dia ada sesak nafas, sakit dada, penat dan sebagainya. Kalau ada, cepat ke hospital, kalau tiada apa-apa dalam tempoh dua minggu kena pantau mereka.

"Mengambil vaksin jauh lebih selamat daripada kita kena COVID-19," jelasnya lagi.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) untuk kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun yang bermula secara rasminya hari ini.

Sehingga kini, 517,000 kanak-kanak di negara ini telah mendaftar bagi program PICKids. 

Buat permulaan, ia tertumpu di Lembah Klang dan akan dilaksanakan melalui hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan.

Manakala bagi penerima yang tiada masalah perubatan akan diberikan suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi.