PASIR MAS: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 21 ekor anak anjing bernilai RM168,000 dipercayai daripada baka yang sukar diperoleh di negara ini semalam.

Pegawai Pemerintah PGA9 Supt Nor Azizan Yusof berkata, rampasan dilakukan selepas sepasukan anggotanya berjaya memintas sebuah pacuan empat roda berdekatan Gual Nering, di sini, pada 6.30 pagi.

Beliau berkata kegiatan itu pada awalnya dikesan di pangkalan haram Kubang Rambutan selepas anggotanya melihat sebuah pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik diekori, pemandu kenderaan bertindak melarikan diri ke laluan Rantau Panjang ke Pasir Mas. Kenderaan penyeludup kemudiannya mengubah laluan ke Taman Pertama dekat Gual Nering sebelum berjaya dipintas.

"Pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan jenis Pajero itu didapati ada sembilan unit sangkar mengandungi 21 ekor anak anjing.

"Kesemua anak anjing itu kemudian dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) Taman Bakti untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nor Azizan berkata susulan kejadian itu seorang lelaki ditahan dan laporan telah dibuat di Balai Polis Rantau Panjang.

"Keseluruhan rampasan termasuk anak-anak anjing serta kenderaan dianggarkan berjumlah RM193,000 diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta MAQIS 2011," katanya.

-- BERNAMA