Menurut Ahmad Syahriefuddin Hasim, kejadian itu berlaku amat pantas dan dalam tempoh 15 minit dia telah kehilangan dua adik ipar dan sepupu iparnya.
Mengimbas tragedi itu Ahmad Syahriefuddin berkata, terdahulu mereka tiba di lokasi perkelahan itu sekitar jam 12.30 tengah hari sebelum berkelah dan bermandi-manda.
Jelasnya seusai itu mereka mahu pulang ke rumah ibu saudara di Kampung Seri Bayas, di sini sebelum salah seorang daripada mereka tergelincir sebelum menarik dua lagi mangsa yang lain.
Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia telah cuba sedaya upaya dengan kudrat yang ada untuk menyelamatkan ahli keluarga termasuk isterinya walaupun diri sendiri hampir lemas.
"Saya kata saya kena kuatkan semangat, saya tak boleh mengalah sebab masa itu saya dah nak lemas dah, memang masuk air.
"Saya kena kuat jugak, saya buka mata saya tengok isteri saya, saya ambil keputusan tendang isteri saya ke darat.
"Saya tendang isteri saya ke darat dan sepupu dia yang lelaki tarik dia naik atas darat, saya suruh tekan dada, saya suruh lakukan CPR.
"Apabila saya tengok isteri saya muntah, keluar air semua, saya cuba lagi untuk tarik mereka tapi tak boleh, saya berenang ke tepi selepas itu ada orang datang tolong," katanya.
Ahmad Syariefuddin berkata dia bersyukur kesemua mangsa dapat ditemui dengan cepat dan reda dengan suratan itu.
Pada Jumaat Astro AWANI melaporkan tiga sekeluarga termasuk pasangan adik beradik ditemukan lemas selepas berkelah bersama ahli keluarganya.
Kejadian berlaku di kawasan Air Terjun Lata Changkah Ulu Seladang, di sini kira- kira jam 2.30 petang.
Insiden itu mengorbankan nyawa dua beradik, Syariatul Nurfatihah Mohd Dera, 28, Syariatul Noor Syafika Mohd Dera, 26, serta sepupu mereka Siti Aisyah Mazalan, 19.
Jenazah tiga saudara itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hilir Maras, Batu Rakit jam 4.30 pagi pada Sabtu.