Umum mengetahui ketika ini petugas barisan hadapan terutama doktor, jururawat dan petugas kesihatan tidak punya kesempatan mendapatkan rehat yang cukup.

Ini kerana mereka terpaksa bertugas lebih masa dalam misi menyelamat serta merawat pesakit-pesakit yang terkesan akibat penularan COVID-19.

Untuk itu di Kuching, Sarawak khususnya, Riverside Majestic Astana Wing dengan kerjasama Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Sarawak menyediakan lebih 50 bilik istirehat bagi mereka yang bertugas di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Menurut Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah, inisiatif itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) hotel itu dengan pihak kementerian.

“Kita berjaya mendapatkan bilik isitirehat daripada pihak Riverside Majestic dan pihak hospital boleh menghantar permintaan untuk mendapatkan ruang bagi tujuan ini,” katanya semasa melawat Pusat Alternatif Derma Darah di Dewan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).



Tambahnya inisiatif sama akan dijalankan di daerah lain di negeri itu namun masih menunggu kerjasama daripada badan korporat untuk tampil secara sukarela untuk menjayakan insiatif ini.

“Terdapat permintaan sama daripada doktor dan petugas kesihatan di daerah Sibu dan Miri namun belum ada badan korporat yang tampil ke hadapan setakat ini untuk membantu petugas barisan hadapan ini mendapatkan tempat istirehat," katanya.

Bagi pihak pengurusan Hotel Riverside Astana Wing, apa yang disediakan itu kecil berbanding pengorbanan yang telah dilakukan oleh petugas barisan hadapan.

Bilik istirehat percuma itu antara kemudahan yang dirasakan perlu untuk para petugas kesihatan berehat dalam masa yang sama memudahkan pergerakkan mereka ke hospital.



"Bagi kita apa yang dikorbankan sekarang adalah sangat kecil berbanding komitmen mereka kepada orang awam, jadi saya sangat menghormati mereka, ini yang kita boleh lakukan kepada yang lain," kata Ketua Pegawai Operasi Sara Hospitality Sdn Bhd, Dr Yuslan Yusoff.

Sementara itu, Pengurus Besar Riverside Majestic Hotel, Mark Fergusan memberitahu, mereka telah menerima panduan daripada Kementerian Kesihatan untuk memastikan setiap bilik melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Seperti situasi ini, petugas pembersihan bilik kami membersihkan seluruh kawasan bilik, menyahkuman, permukaan, menggunakan peralatan keselamatan, topeng, sarung tangan, alat penyahkuman, untuk memastikan bilik itu baik seperti baru," katanya.