Mereka dipilih daripada hampir 6,000 pemohon, dinilai berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan, dan penglibatan aktif dalam kegiatan kokurikulum.
Para penerima tajaan bakal melanjutkan pelajaran mereka di universiti terkemuka tempatan dan luar negara termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Korea Selatan dan Jepun.
“Sejak 1975, PETRONAS kekal komited dalam memperkasakan ilmu dan membangunkan modal insan.
“Inisiatif Memperkasakan Ilmu menjadi bukti kepada komitmen kami untuk memupuk keunggulan akademik bagi pelajar dan pendidik, memastikan mereka dipersiap untuk berkembang maju dalam dunia yang semakin dinamik.
“Kami komited untuk membantu mereka membuat sumbangan bermakna kepada masyarakat,” kata Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dalam ucapannya pada majlis penyampaian anugerah Penajaan Pendidikan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur tempoh hari.
Naib Presiden dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Ruslan Islahudin berkata, disiplin luas kejuruteraan, digital dan perniagaan di bawah Inisiatif Memperkasakan Ilmu melalui Penajaan Pendidikan PETRONAS - dari kejuruteraan kimia dan kejuruteraan petroleum kepada sains komputer, ekonomi, psikologi dan undang-Undang - mempersiap penerima tajaan untuk memenuhi keperluan industri dan masyarakat yang sentiasa berubah.
PETRONAS yakin bahawa bakat-bakat yang sedia masa depan ini tidak hanya mendorong keunggulan dalam sektor tenaga tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan dan kemajuan negara secara keseluruhannya.
Justeru, maklum Ruslan, sokongan PETRONAS tidak hanya pada tajaan pendidikan tetapi pemantauan dan bimbingan berterusan supaya mereka kekal fokus untuk menjadi modal insan cemerlang untuk syarikat dan masyarakat.
“Kami sentiasa berhubung rapat dengan penerima tajaan kami, mengadakan pertemuan dan menyampaikan maklumat terkini tentang perkembangan dalam negara dan di PETRONAS dan bagaimana ia relevan kepada mereka.
“Kami juga berhubung rapat dengan universiti mereka, pastikan mereka aktif dalam komuniti di universiti di mana mereka belajar, dan kami galakkan mereka untuk mengambil kegiatan kurikulum tambahan, contohnya tahun ini kami mahu mereka juga mempelajari pelbagai bahasa kerana ia membawa manfaat kepada PETRONAS apabila mereka datang bekerja bersama kami.”
Para pelajar yang terpilih menyatakan setinggi penghargaan dan teruja untuk berkhidmat kepada PETRONAS juga kepada masyarakat seusai tamat pengajian nanti.
Ramai antara mereka yang tertarik dengan tajaan pendidikan PETRONAS kerana pengisiannya yang menyeluruh, merangkumi segenap aspek yang menggalakkan pertumbuhan peribadi melalui pembelajaran sepanjang hayat.
“Kelebihannya berbanding tajaan lain adalah penganjuran pelbagai program untuk mempertingkat keupayaan dan potensi diri, tidak hanya dalam akademik tetapi sebagai seorang insan.
“Jadi saya boleh persiapkan diri saya untuk menghadapi pelbagai cabaran masa hadapan yang tidak menentu dan seterusnya menyumbang kepada negara,” ujar Muhammad Akmal Rafiuddin Mohd Rizal dari Pasir Gudang, Johor yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang sains komputer di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP).
Begitu juga bagi Koh Zi Hui, pemudi kelahiran Johor Bahru yang akan menuntut dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya (UM) yang berpendapat, tajaan ini menggalakkan penerimanya meneroka peluang untuk memperkaya diri dalam segala lapangan berkaitan.
“Ketika sesi perkongsian dengan para pekerja PETRONAS, mereka berkongsi bahawa PETRONAS menawarkan banyak peluang untuk belajar dalam jabatan berlainan walaupun ia sesuatu yang bukan dibidang kebiasaan mereka.
“Saya amat berharap saya akan dapat berkhidmat di dalam syarikat ini untuk memperbaiki diri demi pertumbuhan peribadi saya.”
Sementara buat Kartik Raj Chandran dari Pengkalan Hulu, Perak, peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat tidak hanya memberi kelebihan kepadanya dirinya sebagai individu tetapi peluang untuknya membawa perubahan kepada komunitinya.
“Ia bukan tentang menjadi jurutera petroleum professional atau menuntut di luar negara, tetapi peluang meraih ilmu dan kemahiran baharu yang tidak mudah diperoleh di sini dan pulang ke tanah air untuk mengaplikasikannya demi kebaikan setempat.
“Mungkin melalui program-program kemasyarakatan PETRONAS, saya boleh membantu dan membimbing mereka dengan pendidikan untuk mereka meningkatkan potensi diri.”
Sejajar dengan Agenda Kemampanan PETRONAS dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) 4, inisiatif Memperkasakan Ilmu direka untuk melahirkan pemimpin yang akan mencipta impak sosial yang positif.
Dengan menyokong pelajar merentas pelbagai jurusan pengajian, PETRONAS memastikan generasi akan datang bersedia sebaiknya untuk menjunjung legasi inovasi dan impak kemasyarakatan syarikat tersebut.
Sejak 1975, PETRONAS telah melaburkan RM3.81 bilion dalam pembiayaan pendidikan, memberi manfaat kepada lebih 39,000 pelajar di seluruh negara.
Komitmen ini mencerminkan dedikasi syarikat minyak, gas dan tenaga tersebut untuk memperkasa bakat-bakat muda, sejajar dengan tema “Continuing the Legacy of Excellence” ketika PETRONAS melihat ke arah masa depan inovasi dan pendidikan untuk 50 tahun mendatang dan seterusnya.