Program di Melaka ini melibatkan lawatan ke lebih enam lokasi utama bagi meninjau isu tenaga dan air, selain mendapatkan maklum balas secara langsung daripada lapangan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, inisiatif ini dirangka untuk memastikan bekalan tenaga dan air yang mampan, inklusif, dan selamat dapat terus dinikmati rakyat.
“PETRA Skuad ini kita turun dengan membawa semua pegawai-pegawai kanan daripada kementerian ke lapangan untuk berinteraksi, mendengar maklum balas daripada stakeholders sama ada di peringkat negeri, pengguna, orang ramai dan sebagainya.
“Pada masa masa, kita hendak membawa kaedah bahawa bukan sekadar membuat perancangan di pejabat, tetapi mahu melihat adakah pelaksanaan kepada perancangan sesuai apabila sampai di lapangan.
“Usaha ini bukan sahaja dilakukan di sini, kita akan gerakkan ke seluruh negara," katanya selepas Majlis Serahan Projek Siap di Alor Gajah hari ini.
Sebagai sebahagian daripada program, lima projek infrastruktur bernilai RM28.6 juta telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Melaka oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS).
Projek-projek yang diserahkan termasuk dua projek pemuliharaan muara sungai, satu projek pencegahan hakisan pantai, dan dua projek pembinaan stesen hidrologi.
Antaranya adalah pemuliharaan muara Sungai Baru dan muara Sungai Punggor serta Projek Pencegahan Hakisan Pantai Telok Gong di Alor Gajah.
Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada hampir 1,000 penduduk dan nelayan yang terdedah kepada risiko banjir dan hakisan.
Selain itu, pembinaan 14 stesen hidrologi di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin akan mempertingkatkan lagi sistem ramalan banjir, memberikan amaran awal kepada penduduk, serta membantu mengurangkan impak bencana banjir di kawasan terlibat.
Dalam sesi lawatan ke tapak Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Alor Gajah Fasa 1, Fadilah turut meninjau projek bernilai RM30 juta itu yang dijangka siap pada Ogos 2025.
“Pelaksanaan projek ini dijangka menghindarkan risiko banjir membabitkan seramai 1,275 penduduk dengan keluasan 418 hektar akan terhindar dari risiko bencana banjir," ujarnya.
Projek itu antara tujuh RTB sedang dilaksanakan di negeri berkenaan dengan peruntukan RM1.006 bilion.
Selain projek infrastruktur utama, program PETRA Skuad Zon Selatan turut merangkumi tinjauan EV GENTARI Charger di Hentian Sebelah Senawang, lawatan ke Projek i2 Solar Park di Masjid Tanah dan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Jernih di Alor Gajah.
Aktiviti penguatkuasaan seperti pemeriksaan perangkap gris di premis makanan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta pemeriksaan kelengkapan elektrik di premis peruncit oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) di Ayer Keroh juga menjadi fokus penting bagi memastikan kepatuhan terhadap peraturan.
Fadillah menegaskan, PETRA Skuad adalah simbol komitmen kerajaan dalam mendekati rakyat untuk mengenal pasti isu akar umbi secara langsung.
Jelajah PETRA Skuad Zon Selatan akan diteruskan ke Johor sebagai destinasi seterusnya, dengan harapan untuk memperkukuh pengurusan sektor tenaga dan air di seluruh negara.