Pandangan dari golongan muda perlu diambil kira jika kerajaan benar-benar mahu memastikan perpaduan kaum dapat dicapai di negara ini.

Penolong Setiausaha Agung Pergerakan Pemuda Malaysia, Daryl Leong Tuck Weng berkata golongan belia pada hari ini mahukan satu identiti khas bagi semua rakyat Malaysia.

Daryl berkata sudah tiba masanya Malaysia menggunakan satu bangsa dan satu bahasa kerana ia boleh menyatupadukan semua bangsa di negara ini.

"Kita sepatutnya menggunakan bangsa Malaysia, we are one Malaysia. Pengalaman saya ketika diluar negara, kita sangat bangga perkenalkan we are Malaysia, tidak ada Chinese Malaysia atau lain-lain.

"Kita juga perlu ada hanya satu bahasa selain kita semua rakyat Malaysia perlu memahami budaya dan juga ada resam bangsa lain.

"Sejauh mana seorang anak muda berbangsa Cina dapat menghayati karya-karya sastera Melayu seperti Hikayat Awang Sulung Merah Muda, begitu juga sebaliknya," kata Daryl selepas Dialog Perpaduan: Suara Akar Umbi di Dewan Bahasa dan Pusata, di sini, hari ini.



Bagi Pengerusi Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN), Mohd Syafik Mohd Taufik, tempoh latihan Khidmat Negara perlu ditambah kerana nilai perpaduan dapat dipupuk ketika sesi latihan program tersebut.

Katanya, pada awal latihan, peserta dilihat mempunyai sikap curiga antara satu bangsa dan satu bangsa yang lain tetapi setelah lama berada di program tersebut.

"Bekas-bekas pelatih program khidmat negara merupakan generasi yang amat menghargai perpaduan kaum kerana kami amat memahami nilai-nilai perpaduan kaum.

"Tempoh berada dalam latihan khidmat negara itu mengajar kami erti persahabatan dan perpaduan yang menjadi kami amat menghargainya," katanya kepada Astro AWANI.



Sementara wakil Persatuan Penduduk Taman Sri Muda, T.Mogan pula berpendapat, jika kerajaan mahu perpaduan kaum di capai, kesamarataan di setiap sektor perlu diwujudkan.

Katanya dengan kesamarataan itu, semua bangsa tidak merasa dipinggirkan dan tidak timbul isu kaum-kaum tertentu memonopoli satu-satu sektor.

"Jika semua sektor mempunyai kesamartaan masalah perpaduan kaum dapat dicapai kerana semua pihak merasa adil," katanya.



Menerusi dialog itu juga, ada terdapat peserta yang melontarkan pandangan agar diadakan hanya sekolah satu aliran kerana ia boleh membantu mencapai perpaduan kaum yang diinginkan.

Hujah mereka, kewujudan sekolah jenis kebangsaan lebih cenderung untuk memisahkan antara satu kaum dengan kaum yang lain.

Terdapat juga peserta yang mencadangkan agar masalah yang timbul dalam satu-satu kaum diselesaikan terelbih dahulu sebelum bercakap soal perpaduan antara kaum.

Tegas peserta tersebut, jika masalah dalaman kaum tidak dapat diselesaikan, ia tidak memberi jaminan hubungan dengan kaum lain akan baik.