Ketua pasukan, Prof Madya Syed Mohd Fairuz Syed Mohd Dardin berkata, penghasilan roket setinggi 1.5 meter (m) dinamakan 4 KRAM itu bukan mudah kerana memerlukan penelitian rapi khususnya pada proses menterjemahkan kepada bentuk fizikal.
Selain itu, beliau berkata, ketepatan kedudukan titik graviti yang terdapat pada 4 KRAM harus diambil kira bagi memastikan peluncuran berlangsung sempurna tanpa mengalami sebarang masalah teknikal.
"Kita bermula sekitar Julai lepas melalui proses awalan iaitu menyediakan reka bentuk roket menggunakan perisian open rocket. Proses seterusnya adalah untuk menterjemahkan kepada bentuk fizikal.
"Proses itu sebenarnya memakan sedikit masa kerana selain memerlukan penggunaan material bersesuaian, kita juga perlu memikirkan tentang kapasiti berat bagi memastikan roket itu dapat meluncur mengikut jarak dimahukan," katanya ketika ditemui Bernama di Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) UiTM Kampung Gajah, di sini, semalam.
Terdahulu, UPNM adalah antara tujuh institut pengajian tinggi (IPT) yang bertanding dalm kategori Roket Satu Kilometer (KM) bersempena dengan Pertandingan Roket Malaysia 2024 (MRC 2024) berlangsung pada 3 Sept hingga semalam.
UPNM memenangi tempat ketiga kategori 3 universiti dalam pertandingan tersebut.
Pertandingan sama turut melibatkan dua kategori lain iaitu Can-Size Satellite dan Can-Size SatelliteR selain membabitkan 24 buah sekolah termasuk dari Singapura, Indonesia dan India.
Sementara itu, Syed Mohd Fairuz berkata, penganjuran pertandingan berkenaan adalah satu pendekatan terbaik dalam memastikan ilmu berteraskan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dapat diperluas kepada tahan lebih tinggi.
"Kaedah ini bukan hanya mampu menarik minat malah memaksimumkan pengetahuan mereka yang mungkin sebelum ini hanya belajar berkenaan mereka bentuk sesuatu benda melalui perisian.
"Namun, pertandingan ini memerlukan mereka menyiapkan roket secara realiti. Bagi saya ia sesuatu yang bagus dan perlu digunakan sebaiknya oleh pelajar," katanya yang merupakan Pengarah Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar UPNM.
Guru pengiring Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, Zulfahmi Mohamad Sapawi berkata, penghasilan roket setinggi 1.9m dilengkapi sensor arduino dikenali BT Rocket itu telah bermula sejak Julai lepas dengan melibatkan enam peserta dalam kalangan pelajar tingkatan satu hingga tiga.
"Di peringkat permulaan kita dipanggil oleh pihak UiTM selaku penganjur untuk hadiri bengkel yang dianjurkan di UiTM Shah Alam. Dalam bengkel berkenaan kami diajar kaedah untuk menghasilkan roket.
"Selepas pulang dari kursus tersebut, kita mulakan gerak kerja hingga terhasilnya roket yang kami namakan sebagai BT Rocket," katanya.
BT Rocket dilengkapi sensor arduino yang mampu mengesan suhu, tekanan dan kelembapan di kawasan sekeliling selain mempunyai Sistem Kedudukan Global (GPS) yang berperanan dalam memudahakan penentuan kedudukan roket sewaktu diluncurkan ke udara. - BERNAMA