KUALA LUMPUR: Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, peruntukan RM70 juta untuk membangunkan laman web daftar tempahan vaksin AstraZeneca turut meliputi pemantauan capaian program vaksin negara.

Ujarnya, peruntukan itu adalah satu siling untuk membangunkan serta isu integrasi berkenaan pangkalan data MySejahtera dan bukan hanya untuk laman web sahaja.

BACA: Khairy minta maaf berhubung masalah teknikal sistem daftar AstraZeneca

"Ia juga melibatkan dan meliputi pengurusan PICK, pembangunan dashboard pelaporan harian PICK, integrasi sistem bagi menghubungkan pangkalan data MySejahtera dan sistem sedia ada KKM, pembangunan laman portal pendaftaran, sistem pengesanan vaksinisasi dan Google Map dalam MySejahtera.

"Pembangunan sistem genomic surveillance, pengurusan PPV, perolehan pengurusan sistem q-mobile untuk PPV, integrasi sistem passport digital dalam MySejahtera, sistem pengurusan logistik dan rangkaian penghantaran vaksin, call centre, sukarelawan dan sms temujanji vaksinisasi," katanya semasa sidang media pada Khamis.

Sebelum ini, media sosial dipenuhi pertanyaan mengenai peruntukan RM70 juta untuk Integrasi Data dan Sistem Janji Temu Vaksin berkenaan.

Dalam pada itu kata Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Malaysia akan menerima lebih 25 juta dos Pfizer-BioNtech pada suku ketiga 2021 ini.

Jelasnya, kerajaan berjaya mempercepatkan penghantaran vaksin dengan menandatangani tambahan 12.8 juta dos Pfizer menjadikan jumlah vaksin yang telah ditempah meningkat ke 44.8 juta sekali gus cukup untuk 70 peratus populasi.

"Saya umumkan Malaysia mendapat 25,862,670 dos penghantaran suku tahun ketiga daripada Pfizer. Saya juga ingin memaklumkan pada Jun sejumlah 2.230 juta dos Pfizer akan diterima negara kita yang mana 444,600 akan dihantar setiap minggu dalam tempoh lima minggu, ini bermakna jumlah Pfizer yang telah dan akan diterima sehingga akhir Jun adalah 4,974,840 dos," ujarnya.

[TERKINI] Sidang media Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan


Dalam pada itu, Khairy menjelaskan, jumlah vaksin yang akan diterima negara bakal menjadikan sasaran kadar suntikan sebanyak 150,000 sehari pada Jun ini.

Katanya, ia akan melibatkan pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin di seluruh negara.

"Saya harap rakyat yang masih belum menerima janji temu akan dapat diberikan janji temu dalam bulan akan datang dan ini menjadi jaminan kepada rakyat vaksin adalah cukup, lebih cepat dan pelaksanaan PICK lebih pantas," jelasnya.

Mengulas isu berkaitan tegasnya, Jawatankuasa Pemilihan Calon Vaksin COVID-19 (JKPCV) mengesyorkan selang masa untuk dos Pfizer boleh dijarakkan dalam masa tiga minggu kepada enam minggu.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaan penjarakan itu akan diputuskan selepas melihat Variant of Concern yang ada buat masa ini.

"Walaupun keputusan ini atau strategi ini adalah baik dari segi liputan orang ramai yang dapat diberi perlindungan tetapi dari segi kualiti perlindungan terhadap varian India adalah lebih rendah, kita akan melihat dan sekiranya di mana untuk lokaliti di mana lokaliti varian itu rendah, maka kita boleh tambah jarak dua dos Pfizer.

"Di kawasan sudah ada varian of concern, kita akan buat keputusan untuk kekal dengan jarak masa tiga minggu untuk memberi perlindungan yang terbaik kepada penerima vaksin," tambahnya.